Gempa bumi 7.4 skala richter landa wilayah selatan Turkiye
ISTANBU - [DIKEMAS KINI] Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras awal Isnin, menurut agensi bencana negara itu.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter itu berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik.
Gempa berlaku pada kedalaman tujuh kilometer, lapor Agensi Anadolu.
Gegaran turut dirasai di wilayah lain termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran termasuk Lubnan dan Syria.
Ia diikuti dua gempa bumi susulan berukuran 6.4 dan 6.5 pada skala Richter melanda wilayah tenggara Gaziantep.
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menerusi ciapan di Twitter mendoakan mangsa yang terjejas akibat gempa bumi cepat sembuh.
Beliau berkata pasukan penyelamat segera dikerah ke wilayah yang terjejas akibat gempa bumi itu.
"Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan, AFAD, gabenor wilayah dan semua institusi lain kini memulakan tugas mereka dengan pantas.
"Kami juga sedang menyelaraskan kerja-kerja selepas gempa bumi. Kami berharap agar bencana ini dapat ditempuhi secepat mungkin dan dengan kerosakan yang paling minima serta kami akan meneruskan kerja kami," kata Erdogan.
Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu berkata bahawa enam gempa bumi dengan kekuatan melebihi enam pada skala Richter telah melanda negara itu setakat awal Isnin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!