Anggota pengaman PBB maut serangan helikopter DR Congo
Serangan itu dilaporkan berlaku pada petang Ahad di wilayah Kivu Utara yang bergolak - Foto AFP
A
A
A
Serangan itu dilaporkan berlaku pada petang Ahad di wilayah Kivu Utara yang bergolak, menurut satu kenyataan.
"Helikopter MONUSCO yang berlepas dari Beni ke Goma telah diserang, menyebabkan kematian seorang anggota pengaman manakala seorang lagi cedera parah,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan itu.
Pesawat itu bagaimanapun berjaya mendarat di lapangan terbang Goma.
Menurut laporan, anggota pengaman yang terbunuh berasal dari Afrika Selatan.
Ketua MONUSCO, Bintou Keita memberi amaran bahawa serangan ke atas pasukan pengaman boleh menjadi jenayah perang dan bahawa "pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi membawa pelaku ke muka pengadilan."
Keita mengutuk sekeras-kerasnya insiden berkenaan sambil menyifatkannya sebagai "serangan pengecut" ke atas pesawat yang mempunyai lambang PBB.
Negara itu terus bergolak, dengan 5.7 juta orang hilang tempat tinggal di tengah-tengah krisis makanan, menurut PBB.
Tentera PBB telah ditempatkan di DR Congo sejak 1999. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!