Maritim, SPRM sedia bekerjasama hapus 'suapan bulanan'

No Image Caption
A
A
A
KANGAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Perlis sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan dua penguat kuasa agensi itu yang terlibat dalam menerima suapan bulanan sebelum ini.

Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan bersama SPRM dalam menghapuskan jenayah yang tidak bermoral itu.

"’Kegiatan ini telah lama saya kesan iaitu sejak mula mengambil alih jawatan sebagai pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis pada 2022,” katanya pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan dua penguat kuasa APMM dan seorang orang awam ditahan reman selama enam hari hingga 8 Februari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Mohd Hashim mengesahkan perkara tersebut dan berkata salah seorang daripada anggotanya telah dibebaskan oleh SPRM pada Sabtu (4 Feb).

Beliau berkata anggota terbabit telah lama berada dalam pemerhatiannya namun beliau gagal memperoleh bukti apabila nelayan enggan memberi kerjasama.

"Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengawai dan anggota APMM Zon Maritim Kuala Perlis yang terlibat dalam aktiviti jenayah seperti ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap SPRM berkata, lebih banyak tangkapan akan dilakukan selepas ini, melibatkan anggota APMM dan pihak ketiga. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!