Abdul Razak tawar diri tanding MKT UMNO
MELAKA - Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan parti penggal itu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Khas Perhubungan UMNO Melaka, Selasa lalu.
"Keputusan ini juga dibuat atas semangat untuk terus menyumbang kepada parti selain percaya dengan pengalaman yang ada akan dapat membantu menyerlahkan lagi UMNO kepada masyarakat di negara ini sekali gus mahu memperkukuh parti keramat ini.
"Dengan penuh keinsafan dan berbekalkan pengalaman dalam politik bermula sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Exco Pemuda UMNO Malaysia, Bendahari Pemuda UMNO Malaysia dan kini Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada pemilihan parti penggal," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani mahu bersama-sama pucuk pimpinan memastikan parti ini terus dilihat relevan kepada semua golongan masyarakat terutama kepada generasi masa depan.
"Insya-ALLAH saya akan serahkan borang pencalonan pemilihan MKT ini dalam tempoh tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat iaitu bermula pada 13 Februari sehingga 26 Februari ini jam 5 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!