JPS ramal banjir di Kuantan, Rompin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KUANTAN - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir di daerah Kuantan dan Rompin yang diramal boleh berlaku pada Isnin jika hujan yang signifikan terus berlaku di Pahang.

Bagi Kuantan, lokasi dijangka banjir melibatkan lembangan Sungai Kuantan iaitu Kampung Batu 6, Kampung Sungai Caru, Kampung Panching, Kampung Pasir Kemudi dan kawasan sekitar.

Di Rompin pula, kawasan diramal banjir ialah Kampung Perwira Jaya, Felda Selancar dan kawasan sekitarnya yang melibatkan lembangan Sungai Rompin.

"Banjir dijangka bermula pada 12.30 tengah hari 6 Februari. Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

JPS menyatakan amaran itu dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.

Orang ramai juga boleh melayari laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut berkaitan banjir.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiga sungai di Kuantan telah melebihi paras bahaya iaitu Sungai Lembing, Sungai Kuantan di Bukit Kenau dan Sungai Belat di Sri Damai.

Laman media sosial Facebook Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuantan pula melaporkan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berhampiran Simpang Sentoria di Gambang ditutup kepada kenderaan ringan akibat dinaiki air setakat tengah hari Isnin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!