Pemandu lori cuba rempuh orang awam berjaya ditahan
SEREMBAN - Polis berjaya menahan seorang pemandu lori yang dipercayai cuba merempuh orang awam sedang minum di meja di luar sebuah kedai makan di Taman Permai 3, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, suspek lelaki berusia 46 tahun itu ditahan jam 8 malam.
"Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku pada Sabtu lalu lebih kurang jam 10 malam dan suspek mengaku melakukan perbuatan mengundur lori dipandu dan cuba merempuh seorang penunggang motosikal di lokasi kejadian seperti dirakam di dalam video viral tersebut.
"Ia berpunca daripada pertengkaran kecil dan rasa tidak puas hati terhadap penunggang motosikal berkenaan," katanya dalam kenyataan kepada media pada Isnin.
Bagaimanapun katanya, dalam kejadian itu tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Saringan awal air kencing juga telah dijalankan ke atas suspek dan mendapati keputusan adalah negatif.
"Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ) akan dimohon untuk siasatan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan video berdurasi 1.03 minit itu memaparkan suspek lelaki secara tiba-tiba mengundurkan lori dipandu ke arah kerusi dan meja makan di situ sehingga mengejutkan beberapa pelanggan.
Tindakan lelaki terbabit mengundang marah orang awam yang berada di situ yang mengarahkannya untuk beredar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!