Kuantan kembali dilanda banjir
KUANTAN - Beberapa kawasan di daerah ini kembali dilanda banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak awal pagi pada Isnin.
Berdasarkan Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 197 mangsa daripada 44 keluarga telah dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di dewan orang ramai Kampung Seri Mahkota dan Seri Damai di sini sehingga jam 1.30 tengah hari.
Kuantan menerima hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka hingga Selasa berdasarkan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Paras air di dua sungai di daerah ini mencatat bacaan melebihi paras bahaya ekoran hujan lebat berterusan sejak awal pagi.
Sungai terlibat adalah Sungai Kuantan dan Sungai Belat.
Berdasarkan data aras air sungai melalui laman sesawang rasmi Public Infobanjir, sehingga jam 1.30 tengah hari, paras air Sungai Kuantan di Stesen Bukit Kenau merekodkan bacaan 22.21 meter berbanding paras bahaya 21.50 meter manakala paras Sungai Belat di Stesen Sri Damai pada bacaan 5.94 meter (paras bahaya 5 meter).
Stesen Lembing yang berada pada paras bahaya 36.47 meter jam 10 pagi turun kepada paras amaran 35.53 meter berbanding paras bahaya 36 meter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!