UniSZA kekalkan menu harga RM3.50
KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan terus memberi tumpuan kepada menu makanan berkualiti pada harga siling RM3.50 setiap hidangan kepada semua pelajarnya.
Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr Fadzli Adam berkata, usaha itu sebagai sokongan kepada cadangan kerajaan untuk memperkenalkan Menu Rahmah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menurutnya, menu hidangan pada harga murah tersebut memberi banyak manfaat kepada pelajar khususnya dari golongan berpendapatan rendah (B40) sejak dilaksanakan pada tahun lepas.
"Hidangan berkualiti dengan harga murah ini boleh didapati di 11 cafe UniSZA di Kampus Gong Badak, kafe Kampus Besut dan Kampus Perubatan.
"Selain pelajar, menu ini juga boleh dinikmati kakitangan UniSZA dan oleh itu, kita akan terus menambah baik kualiti dan kepelbagaian menu yang ditawarkan ketika ini," katanya di sini pada Isnin.
Sementara itu, penuntut ijazah sarjana muda Bahasa Inggeris dan Komunikasi UniSZA, Amni Syafiqa Ali, 24, berkata, penyediaan menu berharga RM3.50 banyak membantu pelajar kerana mampu menjimatkan wang perbelanjaan.
Menurut beliau, dengan tawaran harga tersebut, pelajar dapat menikmati nasi berlaukkan ayam, kuah dan segelas air sirap.
"Memang murah dan berbaloi, saya biasa beli nasi lauk ayam goreng crispy dan kuah tomyam, cuma menu ini cepat habis kerana mendapat sambutan tinggi dari pelajar.
"Saya berharap pengurusan universiti dapat mengekalkan inisiatif ini kerana ia banyak memberi manfaat kepada pelajar terutama golongan B40," katanya yang berasal dari Kelantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!