KPDNHEP banyakkan karnival ekonomi, kepenggunaan
SANDAKAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membanyakkan inisiatif ekonomi dan kepenggunaan seperti Karnival Jualan Pengguna bagi manfaat rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif seperti itu disambut baik oleh rakyat, terutama golongan peniaga yang mampu menjual barangan mereka, terutama hasil tempatan, pada harga menarik.
“Ramai peserta karnival yang dianjurkan oleh kementerian sangat menghargai inisiatif seperti ini.
“Kementerian telah diperuntukkan RM20 juta untuk Kempen Beli Barangan Malaysia sepanjang tahun ini dan sudah tentu pelbagai bentuk inisiatif akan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Jualan Pengguna Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung selama tiga hari di sini mulai hari ini.
Saifuddin juga berkata produk buatan Malaysia bukan sahaja berkualiti dan setanding dengan jenama luar, tetapi ia juga berupaya dipasarkan di peringkat antarabangsa.
Oleh itu, beliau berharap rakyat menyokong dengan membeli produk tempatan, sekaligus merancakkan lagi perkembangan ekonomi negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!