Mulianya hati abang 'cleaner' wakaf mesin dialisis RM80,000

Khalipulzan bersama salah sebuah mesin dialisis yang disumbang kepada Pusat Perkhidmatan Hemodialisis MAIPs Hospital Tuanku Fauziah (HTF). (Gambar kecil: Khalipulzan)
Khalipulzan bersama salah sebuah mesin dialisis yang disumbang kepada Pusat Perkhidmatan Hemodialisis MAIPs Hospital Tuanku Fauziah (HTF). (Gambar kecil: Khalipulzan)
A
A
A

KANGAR - Seorang pekerja pembersihan di Bangunan Wakaf Pusat Perkhidmatan Hemodialisis MAIPs Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mewakafkan dua unit mesin dialisis berjumlah RM80,000 sebagai saham akhirat arwah datuk dan neneknya.

Khalipulzan Mansur, 54, berkata, wang untuk membeli kedua-dua mesin terbabit adalah hasil jualan tanah pusakanya di Semadong di sini.

Katanya, kedua-dua arwah iaitu Ibrahim Abdullah dan Rafiah Saat telah menjaganya sejak kecil dan mewariskan tanah terbabit kepadanya.

"Tanah seluas hampir satu hektar itu dijual hujung tahun lalu dan sebahagian hasilnya digunakan untuk membeli mesin dialisis itu," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Khalipulzan yang berkhidmat selama 15 tahun di situ berkata, dia tertarik untuk mewakafkan mesin terbabit selepas melihat ramai pesakit buah pinggang di situ adalah kaum Melayu.

"Saya terasa nak bantu mereka, tapi nak guna gaji bulan-bulan tak mampu, jadi saya jual tanah berkenaan dan niatkan sebagai saham akhirat untuk tok dan tokwan saya," ujarnya.

Anak sulung daripada enam beradik ini berkata, dia berasa terharu kerana niat murninya itu mendapat liputan meluas dan diterima masyarakat sehingga meraih perhatian Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Khalipulzan (kanan) bergambar bersama Tuanku Syed Faizuddin ketika menerima sijil penghargaan.
Khalipulzan (kanan) bergambar bersama Tuanku Syed Faizuddin ketika menerima sijil penghargaan.

"Saya tidak sangka akan dapat penghargaan daripada Tuanku Raja Muda, saya berharap apa yang saya lakukan ini dapat dijadikan contoh untuk orang yang berkemampuan turut mewakaf," katanya.

Pada Ahad, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan memberi penghargaan kepada Khalipulzan bersempena program kayuhan MAIPs peduli menjejaki dan menyantuni asnaf kali ke-11 2023 di Masjid Al-Ghufran, Batu Dua Lama di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!