Gempa bumi Turkiye: 76 maut, 440 cedera

Orang ramai mencari mangsa yang terperangkap melalui runtuhan berikutan gempa bumi di Diyarbakir, Turki - Foto: Reuters
Orang ramai mencari mangsa yang terperangkap melalui runtuhan berikutan gempa bumi di Diyarbakir, Turki - Foto: Reuters
A
A
A

ISTANBUL - Sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh manakala 440 lagi cedera selepas gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye pagi Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter itu berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik, wilayah Kahramanmaras.

Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman tujuh kilometer, diikuti dengan dua gempa bumi susulan yang melanda wilayah Gaziantep.

Menurut maklumat awal, seramai 76 orang maut di wilayah Kahramanmaras, Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakır, Adana, Adıyaman, Malatya manakala 440 yang lain cedera.

Gempa bumi turut dirasai di wilayah lain termasuk Diyarbakir dan negara jiran seperti Lubnan dan Syria.

Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu berkata, gempa bumi itu telah menjejaskan beberapa wilayah termasuk Gaziantep, Osmaniye, Malatya, Adıyaman, Adana, Diyarbakır, Kilis, dan Sanliurfa.

"Pasukan penyelamat kami telah dikerah ke wilayah itu,” katanya.

Turkiye mengeluarkan amaran gempa bumi tahap empat, termasuk meminta bantuan antarabangsa.

AFAD menyiarkan kenyataan memaklumkan: "Susulan perbincangan dengan Kementerian Luar Negeri, bantuan antarabangsa diperlukan untuk misi mencari dan menyelamat melalui ERCC (Pusat Penyelarasan Tindak Balas Kecemasan). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!