KKM akui berlaku kesesakan di Jabatan Kecemasan

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui berlaku kesesakan di sebuah Jabatan Kecemasan di hospital kuaternari.

Tanpa mendedahkan hospital berkenaan, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia dikesan selepas pegawai-pegawai kementeriannya melakukan lawatan di jabatan tersebut pada minggu lalu.

Jelas beliau, kesesakan tersebut dipercayai kerana pesakit yang sepatutnya dimasukkan ke wad masih terperangkap di Jabatan Kecemasan.

"Setiap Jabatan Kecemasan mempunyai cabaran yang berbeza. Jabatan Kecemasan khusus ini berbeza dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang yang saya lawati sebelum ini.

"Kakitangan barisan hadapan di sini bergelut kerana pesakit yang sepatutnya dimasukkan ke hospital terperangkap di Jabatan Kecemasan. Kelewatan ini boleh memberi kesan domino yang buruk," katanya dalam kemas kini di laman Twitternya pada Isnin.

Bagi mengelakkan perkara tersebut berlarutan, Dr Zaliha berkata, kementerian antaranya sedang melakukan perbincangan dalaman dan arahan terhadap kakitangan dan penyediaan lebih banyak katil.

Katanya lagi, usaha memperkasakan kepimpinan di peringkat lapangan juga perlu dilakukan.

Selain itu, beliau mengakui berlaku keletihan fizikal dan mental dalam kalangan kakitangan dan pesakit.

"Banyak isu yang diwarisi dan sistemik, tetapi ada yang boleh ditangani di peringkat tempatan dengan penglibatan yang mencukupi.

"Ramai petugas barisan hadapan telah bekerja di luar tugas semasa pandemik Covid-19, dan terus berbuat demikian ketika kita menghadapi tsunami penyakit tidak berjangkit (NCD) selepas pandemik," katanya lagi.

Justeru, Dr Zaliha KKM memberi jaminan akan terus berusaha untuk mengenal pasti penyelesaian secara dalaman dan menyokong petugas barisan hadapan menerusi perbincangan berterusan dengan Kementerian Kewangan.

Terdahulu, media melaporkan HTAR Klang terpaksa menutup jabatan kecemasannya daripada menerima kes tidak kritikal, kerana mengalami kesesakan dengan pesakit terlalu ramai.

Sementara pada Januari lalu, KKM memaklumkan akan memperkenalkan wad jangka pendek atau 'short stay ward' bagi hospital yang mempunyai ruang sebagai inisiatif mengatasi masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan.

Dr Zaliha berkata inisiatif tersebut telah pun dilaksanakan di beberapa hospital dan mencadangkan supaya kriteria wad berkenaan ditambah baik bagi mengelakkan pesakit menunggu lama khususnya di zon kuning.- Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!