Tiada mesyuarat untuk paksa sokong Noraini - Rosni
SHAH ALAM - Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar menafikan dakwaan bahawa ketua sayap itu, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah mengadakan mesyuarat bagi memaksa Ketua Wanita Negeri memberikan sokongan kepadanya.
Menurut beliau, tohmahan yang telah dilontarkan tersebut adalah tidak benar sama sekali.
Jelas beliau, tiada sebarang mesyuarat Ketua Wanita Negeri telah diadakan seperti yang dinyatakan.
“Pelbagai tohmahan telah berlegar di media sosial tentang sokongan terhadap Ketua Wanita UMNO Malaysia. Ada tabloid yang mengeluarkan kenyataan kononnya wanita dari bahagian tertentu minta Noraini untuk berundur diri.
“Ada juga yang mengatakan bahawa Datuk Seri telah memanggil mesyuarat memaksa Ketua Wanita Negeri menyatakan sokongan dari setiap Wanita Bahagian. Tak kurang juga yang telah mengeluarkan angka sokongan terhadap individu yang ingin bertanding.
“Saya ingin tegaskan di sini, saya selaku Setiausaha Wanita UMNO Malaysia bahawa tohmahan semua ini adalah tidak benar sama sekali. Tiada mesyuarat diadakan seperti yang di khabarkan. Jauh sekali paksaan untuk memberi sokongan pada Noraini. Angka yang disebutkan juga adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, terdapat dakwaan lebih separuh Ketua Wanita UMNO Bahagian di seluruh negara menggesa agar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO Malaysia.
Menurut Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, seramai 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian membuat keputusan itu dalam satu pertemuan dengan Shahrizat baru-baru ini.
Tambah Rosni, kebanyakan negeri yang menyatakan sokongan terhadap Noraini dan Timbalannya, Datuk Norliza Rahim untuk terus menerajui Wanita UMNO Malaysia adalah dengan kerelaan sendiri.
“Ia seiring dengan usul yang dibawa di Perhimpunan Agung Wanita yang lalu,” jelasnya.
Rosni turut berharap agar wanita UMNO untuk lebih fokus kepada persiapan pilihan raya di enam negeri yang bakal tiba.
Jelasnya, wanita perlu tumpu untuk memperbaiki dan mempertingkatkan gerak kerja Jalinan Rakyat (JR) di enam negeri dan jangan membiarkan pemilihan menjejaskan gerak kerja yang telah dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!