Menu Rahmah asam pedas pertama di Melaka

Saharudin (kiri) dan Norena (dua dari kiri) menunjukkan pilihan Menu Rahmah yang ditawarkan dengan harga RM5.
Saharudin (kiri) dan Norena (dua dari kiri) menunjukkan pilihan Menu Rahmah yang ditawarkan dengan harga RM5.
A
A
A

MELAKA - Meskipun berdepan dengan kenaikan kos bahan mentah, namun seorang pengusaha restoran asam pedas mengambil peluang menawarkan Menu Rahmah setiap Isnin dan Khamis.

Pengusaha Asam Pedas Selera Kampung, Saharudin Mohd Nor berkata, inisiatif memperkenalkan tiga menu pilihan set asam pedas iaitu set asam pedas ayam, asam pedas daging tetel dan asam pedas ikan kembung berharga RM5 bagi membantu pelanggan, terutama golongan B40 menikmati menu tersebut dengan harga murah.

Menurutnya, usaha itu juga memberi peluang kepada pihaknya membuat kebajikan dengan menyediakan menu berkualiti biarpun harganya murah berbanding menu biasa.

"Setakat ini kita tidak tahu sambutannya macam mana, namun menu berharga RM5 ini diberikan kepada 100 pelanggan pertama pada dua hari terpilih itu," katanya ketika pelancaran Menu Rahmah di Banda Hilir, di sini pada Isnin.

Tambahnya, setiap menu dilengkapi dengan sayur kubis, telur asin dan air mineral yang sesuai untuk golongan tersebut.

"Biarpun murah namun kami tidak abaikan kualiti dan pelanggan dapat menikmati rasa asam pedas yang sama cuma mengurangkan saiz hidangan.

"Sekiranya sambutan menggalakkan akan memperluaskan Menu Rahmah ini di kedai makan anak saya iaitu Asam Pedas Lauk Kampung," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, beliau percaya lebih ramai peniaga akan memperkenalkan Menu Rahmah di kedai mereka untuk membantu rakyat.

Menurutnya, setakat ini, 25 peniaga telah menyatakan hasrat untuk mewujudkan Menu Rahmah di premis mereka di negeri ini, namun terpulang kepada mereka untuk memperkenalkan tersebut setiap hari atau sebaliknya.

"Usaha ini dengan rela hati peniaga dan tidak ada sebarang paksaan untuk mereka nak bantu rakyat dengan menurunkan harga melalui Menu Rahmah.

"Jangan keliru, jika di sini, mereka mampu adakan dua hari jadi teruskan ikut kemampuan peniaga sama ada memilih menu masakan tengah hari atau malam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!