'Tidak harap suami, anak-anak beri kebahagiaan' - Rozita
Malah ibu kepada usahawan popular, Datuk Seri Aliff Syukri itu menegaskan, beliau sentiasa reda dengan ketentuan ALLAH SWT dalam menentukan takdir yang diperolehi.
"Life is complecated (kehidupan ini rumit). Sebab itu saya tidak ada harapan kepada suami, anak-anak. Hari ini semua orang kata saya seorang yang berjaya (tetapi) itu yang orang nampak. Adakah kekayaan itu satu perkara yang membuatkan saya bahagia.
"Jangan merajuk terhadap takdir yang ALLAH bagi, berdamailah dengan takdir, terima takdir, balik kepada agama kerana hidup adalah antara kita dengan ALLAH walaupun anak (dan) suami memang menyakitkan.
"Rajuk adalah satu benda yang paling salah dalam minda, dalam perkahwinan, dalam (hal) anak-anak, dalam pekerjaan. Jangan ada dalam kepala kita rajuk kepada suami, buang (kerana) kita tak akan bahagia sebab manusia tidak beri kebahagiaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program Mak Untuk Malaysia (MUM), 'Rajuk Hati Bonda Rozita' yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.
Program selama sejam itu dikendalikan Hazlin Hussain sebagai hos.
Dalam pada itu, Rozita turut menasihatkan agar sentiasa bersangka baik terhadap takdir yang ALLAH SWT berikan dan reda adalah tindakan paling tepat berbanding berharap kepada manusia.
"Kanapa tidak bahagia? Kerana dalam diri mengharap dunia, mengagungkan nafsu, mengharap orang muliakan, (harap) orang pandang kita hebat sebagai orang korporat, harapkan suami sayang. Semua ke arah manusia.
"Semua yang kita sayang walaupun baik atau tidak, (membuatkan) kita sakit. Apa yang anda lihat tentang saya, jangan anggap saya hebat sebab perjuangan saya tidak dihargai. Jadi saya lepaskan daripada pengharapan duniawi.
"Namun apabila mengharapkan kepada ALLAH, hebatnya kasih sayang ALLAH yang memandang pahit jerih. Dia beri apa yang saya ada sekarang," ujarnya.
Sementara itu berkongsi mengenai bidang perniagaan, pengasas rangkaian produk Sendayu Tinggi itu mengakui agak sukar untuk bersaing dalam perniagaan sekiranya tidak bersikap terbuka namun baginya, perkara itu perlu diimbangi dengan ilmu yang baik.
"Saya, Syukri (Aliff Syukri) dan Yati (Noor Hayati Kamarzaman), kami satu keluarga (dan) perkara itu tidak mudah. Kami bersaing dalam perniagaan yang berbeza, karakter yang berbeza. (Gelaran) doktor, Tan Sri (atau) Datuk, itu hanya status.
"Itu adalah cabaran dalam perniagaan dan saya sentiasa cabar diri adakah perniagaan yang dibina ini untuk status dipandang orang. Zaman dahulu kalau ada gelaran Datuk, orang akan lebih percaya pada perniagaan.
"Sebab itu saya cakap, manusia memperbodohkan diri dengan status yang dimiliki," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!