Negeri Sembilan perluas tanaman padi di Londah
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Sembilan akan memperluaskan tanaman padi sedia ada di Londah, Gemas di Tampin membabitkan 50 ekar (20 hektar) tanah bagi meningkatkan pengeluaran beras di negeri ini.
Exco Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Bakri Sawir, berkata, buat masa ini pihaknya dalam proses perancangan pengairan bersama Jabatan pengairan dan Saliran (JPS) negeri bagi memastikan kawasan itu mempunyai sumber air yang mencukupi.
"Di Negeri Sembilan buat masa ini terdapat lebih 1,000 hektar tanaman padi iaitu di Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Jelebu.
"Tapi besarnya di kawasan Jelebu iaitu hampir 500 hektar yang mana kesemua hasil tanaman padi ini adalah untuk pasaran tempatan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, kerja-kerja pembersihan tanah akan dilakukan dalam waktu terdekat dan dijangka dapat diusahakan tahun ini.
Tambahnya, pembukaan kawasan baharu untuk penanaman padi itu bukan sahaja meningkatkan keterjaminan makanan malah dapat membuka peluang pekerjaan terutama kepada penduduk setempat.
Berkenaan tanah sawah yang terbiar di negeri ini, beliau berkata, ia disebabkan masalah sistem pengairan di situ tetapi kebanyakannya telah diusahakan dengan tanaman alternatif lain yang dirasakan lebih bersesuaian.
"Sebelum ini ada lebih 2,000 hektar tanah sawah yang terbiar, tapi sekarang hanya tinggal kira-kira 1,000 hektar kerana telah diusahakan dengan tanaman lain," katanya.
Selain itu katanya, kerajaan negeri akan mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) untuk tanaman sayur-sayuran, kontan dan napier di kawasan seluas 40 hektar di Gemas dalam waktu terdekat bagi menggalakkan pertanian secara berskala besar, komersial dan berteknologi tinggi.
Bakri berkata, kerajaan negeri juga bersedia mencari kawasan tanah atau gudang lama untuk dijadikan kawasan penanaman menegak (vertical farming) sebagai alternatif bagi menampung keperluan makanan pada masa akan datang.
"Tapi ia bukanlah keutamaan pada masa ini, namun langkah itu boleh dilaksanakan akan datang sekiranya tanah makin mengecil berikutan pembangunan.
“Ia bukanlah kaedah baharu tapi boleh difikirkan untuk dilaksanakan di negara ini malah kaedah ini juga sudah popular di Singapura kerana menjimatkan ruang. Konsep tanaman menegak biasanya melibatkan jenis sayuran bertingkat seperti sawi, bendi dan salad,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!