Bomba guna cadar angkat lelaki obesiti
MELAKA - Sepasukan anggota bomba terpaksa dipanggil untuk membantu mengangkat seorang lelaki obesiti dengan berat badan 140 kilogram (kg) dari kediamannya di tingkat empat rumah flat di Lorong Pandan, di sini, pada Isnin.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, PBK ll, Mohd Sofian Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.13 pagi sebelum pasukannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, difahamkan panggilan kecemasan itu dibuat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membawa lelaki yang menghidap obesiti itu mendapatkan rawatan di hospital.
"Anggota bomba mengangkat mangsa dengan dibantu pihak KKM menggunakan cadar turun ke bawah.
"Kemudian kita meletakkan lelaki terbabit ke pengusung sebelum dibawa menaiki ambulans," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Jelasnya, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membawa turun lelaki obesiti itu sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 10.48 pagi.
"Setelah memastikan tiada kecederaan pada mangsa dan tiada unsur yang boleh mendatangkan bahaya pasukan bertugas bertolak balik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!