'Kabinet bayangan PN tidak cukup sifat, separuh masak'
KUALA LUMPUR - Kabinet bayangan oleh Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai tidak cukup sifat dan separuh masak kerana tidak melibatkan wakil kaum bukan Melayu, ujar Penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub.
Dalam masa sama, katanya, penglibatan wakil dari Sabah dan Sarawak disifatkan sangat kurang, selain hanya melantik tiga wanita menyertai barisan kabinet bayangan itu.
"Saya kategorikan kabinet bayangan ini seperti kabinet tidak cukup sifat dan separuh masak kerana tidak melibatkan komponen yang paling utama. Misalnya, di mana wakil kaum bukan Melayu, iaitu kaum Cina, India, dan juga wakil Sabah dan Sarawak hanya satu portfolio sahaja, meskipun 29 portfolio diwujudkan.
"Kedudukan wanita bagaimana pula, berbanding dengan Kerajaan Perpaduan yang melantik lima wanita sertai kabinet, namun, kabinet bayangan hanya tiga wakil wanita. Ini disifatkan sebagai separuh masak dalam membentuk persediaan jika mereka perlu ganti PH bila-bila masa sahaja," katanya kepada Awani pada Isnin.
Ujarnya, Malaysia perlu ada keterbukaan dalam politik dan tidak boleh lagi membawa budaya politik yang lama.
"Kalau ini (politik lama) masih ada lagi dalam kalangan pemimpin-pemimpin kerajaan atau pembangkang, saya yakin kita akan bergerak ke belakang dalam arena politik negara," ujarnya.
Bagaimanapun beliau melihat kabinet bayangan itu perlu diiktiraf oleh kerajaan dengan melibatkan mereka dalam perbincangan, mendapatkan maklumat, mesyuarat bersama, atau melalui jawatankuasa pilihan tertentu di Parlimen.
"Inilah platform untuk angkat idea bukan sahaja dari kerajaan, tetapi juga memberi ruang penglibatan Ahli Parlimen PN untuk bersama-sama memastikan kestabilan politik, mekarkan ekonomi negara dan mengetepikan perbezaan politik.
"Dalam konteks membangunkan negara, kerajaan dan pembangkang mesti duduk bersama dan kalau boleh beri elaun, sila berikan. Namun (lihat) bagaimana mereka nak berfungsi dengan baik daripada kabinet bayangan PN. Jangan hanya bercakap tentang slogan, bagaimana nak ubah negara, tetapi kita masih di takuk lama iaitu tidak mahu menerima perubahan dan perbezaan," tambahnya.
Dalam pada itu, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berjiwa besar dalam menerima pandangan pembangkang termasuk kabinet bayangan Perikatan Nasional (PN).
Dalam masa sama, Mohammad Tawfik mengesyorkan pemberian elaun kepada ahli kabinet bayangan bagi membantu kerajaan membangunkan negara.
"Kita perlu libatkan ahli pembangkang, dan berikan elaun sebagai sumbangan dan kerja ahli kabinet bayangan bantu kerajaan, ini akan wujudkan kematangan politik baharu. Ketepikan pertelingkahan politik dan kita jadikan ini sebagai wadah semua ahli Parlimen untuk bantu kerajaan dan saya yakin mereka yang nak jadi kerajaan ada sikap nak bangunkan negara, namun jangan hijack di tengah jalan.
"Jangan hanya pandai kritik, tetapi tiada idea untuk membina kepada kerajaan. Siapa pun kerajaan kena kongsi serta beri keyakinan dan pastikan perjalanan negara adalah untuk rakyat," katanya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!