‘Negara perlukan lebih ramai pemimpin muda seperti Shahril’
SHAH ALAM - Negara memerlukan lebih ramai pemimpin muda seperti bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut beliau, kelahiran ramai pemimpin muda seperti Shahril dilihat mampu menggegarkan keadaan di Malaysia.
“Pertama kali saya bertemu dengan Shahril pada 2014/2015 ketika saya bercadang untuk menubuhkan Debat Awam Oxford Union versi Malaysia.
“Beliau sangat menyokong dan bersama-sama melontarkan idea kepada Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
“Beberapa bulan kemudian, kami akhirnya berada dalam parti yang berbeza tetapi rasa hormat saya terhadapnya tidak pernah pudar,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin.
Dalam hantaran itu, Syed Saddiq turut berkongsi gambar ketika bertemu dengan Shahril.
Beliau berkata, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO itu merupakan individu yang pernah dan masih seorang pemimpin muda yang baik hati.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut memaklumkan beliau sebelum ini banyak berdebat bersama Shahril dalam forum awam yang dianjurkan.
“Saya tidak suka mengakuinya, tetapi dia jelas merupakan pendebat yang lebih baik dalam salah satu perdebatan politik pertama kami yang dihoskan oleh Malaysian Student Leaders' Summit (MSLS) pada 2017.
“Akhirnya, dapat adakah sesi perjumpaan yang baik selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15). Kami mengambil jalan yang berbeza sebelum ini. Siapa tahu ke mana masa depan boleh membawa kita.
“Semua yang terbaik untuk anda dalam usaha masa depan anda. Semoga jalan kita akan bertembung lagi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!