[VIDEO] Jangan guna alasan agama, kaum pertikai usaha banteras rasuah
PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Pemimpin politik tidak seharusnya menggunakan alasan agama atau kaum bagi mempertikai tindakan pihak penguatkuasa membanteras isu rasuah, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Malaysia kini berada di ambang kerosakan akibat rasuah yang sudah menjadi sebahagian daripada sistem negara.
"Percayalah, setelah beberapa bulan dalam kerajaan, saya lebih yakin masalah (rasuah) ini memang rumit dan sukar dirungkai.
"Soal pembekuan akuan parti politik bukan baharu. Semasa akaun parti UMNO dibeku, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi sokongan yang kuat mempertahankan tugas profesionalisme Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Sekarang pembekuan itu dilakukan terhadap akaun Bersatu kerana jumlahnya besar dan dikaitkan juga dengan beberapa keputusan kerajaan di bawah pimpinan beliau," katanya ketika sidang media di ibu pejabatnya, di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu mengenai pembekuan beberapa akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.
Ujar Anwar, Bersatu sepatutnya bersiap sedia untuk memberi penjelasan dan tidak mengganggu badan penguatkuasaan sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau SPRM menjalankan tugas.
"Kemudian andai kata ada pendakwaan, biar badan kehakiman bertindak secara bebas. Saya buat seruan ini kerana saya lihat kadang-kadang digunakan alasan agama yang remeh.
"Mana mungkin mana-mana agama digunakan untuk mempertahankan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, apa lagi Islam yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dalam sistem yang berpunca daripada rasuah yang bermaharajalela di negara ini," jelasnya.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menegaskan, parti itu tidak perlu takut seandainya mereka 'bersih' daripada sebarang penyalahgunaan kuasa.
"Kalau bersih, tidak perlu rasa takut. Semua menguar-uarkan kita ini parti yang bersih dan mahu mewujudkan kerajaan yang bersih.
"Sepatutnya kita sokong semua. Bagaimana harus kita bersihkan (penyelewengan ini) kalau tidak kita berikan kuasa yang lebih kepada badan penguatkuasaan untuk menjalankan dan menyempurnakan tugas mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!