Gempa Turkiye: Agong, Permaisuri ucap takziah, seru adakan solat hajat
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada Kerajaan Turkiye dan Syria serta rakyatnya berikutan tragedi gempa bumi kuat melanda negara berkenaan.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut menzahirkan ucapan takziah.
Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam musibah sehingga menyebabkan kehilangan nyawa ratusan rakyat dan kerosakan harta benda serta infrastruktur.
"Seri Paduka berdua berdukacita atas kehilangan ratusan nyawa dalam tragedi tersebut serta menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
"Seri Paduka berdua turut mendoakan agar roh-roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut Istana Negara menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurut Istana Negara, dalam tempoh kesedihan ini, Seri Paduka berdua dan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Turkiye serta Syria serta mendoakan agar mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan akibat tragedi itu dapat diselamatkan dengan segera serta mereka yang tercedera dikurniakan kesembuhan segera.Susulan bencana itu, Al-Sultan Abdullah menyeru semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat untuk keselamatan mangsa dan keluarga mereka, serta mengadakan solat jenazah ghaib bagi mangsa yang telah kembali ke rahmatullah.
Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada awal pagi Isnin, dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.
Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye itu telah meragut 912 nyawa, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.
Setakat ini, Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi berkenaan. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!