PM ucap takziah kepada mangsa gempa bumi di Turkiye
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta semua negara yang terjejas akibat gempa bumi kuat yang melanda wilayah Kahramanmaras di selatan Turkiye pada Isnin.
Anwar berkata, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan berlepas ke Turkiye malam ini untuk membantu pihak berkuasa tempatan dalam misi Mencari dan Menyelamat (SAR) di kawasan terjejas.
"Saya amat sedih dengan kehilangan besar nyawa, kecederaan dan kemusnahan besar-besaran berikutan gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda selatan Turkiye. Gempa bumi besar itu juga menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan jumlah korban besar di negara-negara jiran.
"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan rasa simpati dan takziah kepada mangsa dan keluarga serta semua negara yang terjejas akibat bencana itu. Semoga Allah Yang Maha Kuasa memberi kesembuhan kepada mangsa dan ketenangan yang cepat kepada yang berduka,” menurut catatannya di Facebook pada Isnin.
Gempa bumi kuat berukuran 7.4 pada skala Richter dilapor melanda wilayah selatan Turkiye di Kahramanmaras jam 4.17 pagi Isnin dengan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan ia berpusat di daerah Pazarcik.
Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye berhampiran bandar Gaziantep telah meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.
Menurut Kementerian Luar, setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terjejas dengan kejadian tersebut. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!