Gempa bumi Turkiye: 12 rakyat Malaysia dilaporkan selamat

Zambry bersalaman dengan anggota dan pegawai pasukan Smart yang dihantar membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye pada Isnin.
Zambry bersalaman dengan anggota dan pegawai pasukan Smart yang dihantar membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye pada Isnin.
A
A
A

SEPANG - Wisma Putra mengesahkan 12 rakyat Malaysia yang berada di kawasan gempa bumi di Turkiye pagi Isnin, dilaporkan selamat.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya percaya kesemua individu terbabit adalah mereka yang bekerja di negara berkenaan.

"Kita sedang mendapatkan maklumat selanjutnya dari Kedutaan Malaysia di Turkiye berkaitan keadaan dan situasi semua individu itu.

"Namun berdasarkan maklumat awal kita peroleh, mereka berada dalam keadaan selamat sebelum keadaan sebenar dapat diketahui dalam masa terdekat," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Isnin.

Zambry berkata, setakat ini, pihak berkuasa Turkiye memaklumkan hanya aplikasi WhatsApp dan sistem pesanan ringkas (SMS) digunakan untuk berkomunikasi dengan rakyat Malaysia di kawasan terjejas.

"Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas dinasihatkan agar berwaspada dan mengikuti maklumat dan arahan semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa negara berkenaan," katanya.

Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye berhampiran bandar Gaziantep telah meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!