Masjid, surau di Wilayah Persekutuan anjur solat hajat esok

Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada awal pagi Isnin. - Foto EPA (Gambar kecil: Mohd Na'im)
Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada awal pagi Isnin. - Foto EPA (Gambar kecil: Mohd Na'im)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya akan mengadakan solat sunat hajat esok, bagi memohon doa kesejahteraan susulan bencana gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, ia akan dilaksanakan selepas solat Maghrib dan seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut diminta melaksanakan ibadah sama.

“Menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk tujuan mendoakan kesejahteraan buat negara Turkiye dan Syria.

"Semoga ALLAH mempermudahkan segala urusan dan operasi menyelamatkan mangsa. Marilah kita berdoa agar kesemua mangsa bersama ahli keluarga diberikan kesabaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada awal pagi Isnin, dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan itu berpusat di Daerah Pazarcik.

Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye itu telah meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria, dan setakat ini Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam bencana itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!