Sekat lato-lato di sekolah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berpandangan permainan lato-lato wajar disekat daripada dibawa dan digunakan di persekitaran kawasan sekolah kerana dikhuatiri akan menjejaskan tumpuan dalam bilik darjah selain dijadikan senjata buli dalam kalangan pelajar.

Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, diakui meskipun permainan berkenaan memberi manfaat dari segi mengalihkan pelajar daripada ketagihan gajet, pertimbangan lebih besar perlu diberikan terhadap kesan mudaratnya.

Menurutnya, impak kesan buruk daripada risiko permainan tersebut tidak sepatutnya dibiarkan berlaku dan berleluasa di negara ini apatah lagi melibatkan keselamatan pelajar.

“Kementerian Pelajaran (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KTPM) diharapkan berhati-hati dan terus memantau kemasukan permainan lato-lato yang sedang trending memasuki alam dunia pendidikan. Kes kemalangan telah terjadi dan tidak sepatutnya dibiar berleluasa di Malaysia.

“Saya harap permainan ini dapat disekat di kawasan sekolah. Tentunya ia akan mengganggu ketenteraman pengajaran dan pembelajaran (PdP) bilik darjah, dijadikan sebagai senjata membuli, bising serta menjejaskan fokus PdP,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Alat mainan lato-lato yang dijual secara berleluasa dan menjadi kegilaan dalam kalangan pelajar sekolah.
Alat mainan lato-lato yang dijual secara berleluasa dan menjadi kegilaan dalam kalangan pelajar sekolah.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai risiko permainan lato-lato yang kini menjadi kegilaan golongan pelajar sekolah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara berkenaan perlu dilihat secara serius kerana sudah ada negara-negara maju yang sudah mengharamkan permainan itu sebelum ini.

“Kesan kepada psikomotor (kemahiran fizikal) insan-insan yang baru membesar tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

“Saya tidak merasakan ada keperluan yang betul-betul mengizinkan penggunaan permainan ini di sekolah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!