Terjun laut elak ditahan

Anggota Maritim melakukan pemeriksaan terhadap bot nelayan yang ditinggalkan selepas dua nelayan terjun ke laut melarikan diri, awal pagi tadi. Foto: Maritim
Anggota Maritim melakukan pemeriksaan terhadap bot nelayan yang ditinggalkan selepas dua nelayan terjun ke laut melarikan diri, awal pagi tadi. Foto: Maritim
A
A
A

KUALA KEDAH - Dua nelayan nekad terjun ke dalam laut bagi mengelak ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) selepas menyedari bot mereka dihampiri bot peronda agensi terbabit, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad, berkata, ketika pihaknya cuba menghampiri bot nelayan terbabit, mereka memecut laju dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan.

"Bot peronda Maritim terpaksa mengejar bot nelayan itu hampir 30 minit, namun dua nelayan yang berada di atas bot tersebut bertindak terjun ke laut dan melarikan diri berhampiran kawasan pantai.

"Bot nelayan tersebut ditahan pada 4 pagi dan ketika itu berada pada jarak 0.3 batu nautika barat daya Pantai Tebengau, Kuala Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot itu beroperasi secara haram tanpa sebarang dokumen bot nelayan kelas A dan menjalankan aktiviti menunda pukat.

“Bot nelayan tersebut yang dianggarkan bernilai RM45,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Saya menasihatkan pengusaha bot nelayan sentiasa patuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan. Kami komited banteras aktiviti melanggar undang-undang dan kegiatan jenayah di laut,” katanya.

Mahmad Faizal berkata, kes terbabit disiasat bawah Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!