Still pacu pasukan guna Football Manager
WILLIAM Still menyifatkan permainan Football Manager membantu mengasah kemahirannya sebagai pengendali pasukan liga utama Eropah.
Pengendali kelahiran Belgium berusia 30 tahun itu sebelum ini dinaikkan pangkat pengurus kelab Ligue 1 Perancis, Stade de Reims, selepas menampilkan prestasi menakjubkan bersama kelab tersebut.
Reims menyisihkan diri dari zon penyingkiran ke tempat ke-11 selepas beberapa siri kemenangan di bawah bimbingan Still.
Les Rouges et Blancs kini berada di kedudukan ke-10, mengumpul 30 mata hasil enam kemenangan, 12 seri dan empat kekalahan selepas mengharungi 22 perlawanan.
Dalam temu bual baru-baru ini, Still berkata bahawa bermain Football Manager secara obsesif semasa kecil membantunya memperoleh kejayaan pada ketika ini.
“Saya terpaku padanya (Football Manager) sebagai seorang kanak-kanak, dan bermain permainan itu menyalakan semangat dalam diri saya sebagai jurulatih.
"Saya teruja dengannya semasa membesar. Saya dan abang memainkannya tanpa henti - kami tidak dibenarkan bermain PlayStation, jadi kami bermain Football Manager di komputer keluarga.
“Kami mula bina skuad, memilih pasukan, mengatur latihan, memastikan pasukan menuju ke arah yang betul semua butirannya. Tiada yang lebih baik daripada itu, walaupun sekadar maya!" katanya.
Still terus menggunakan Football Manager semasa menjadi pengendali kelab Liga Belgium, Sint-Truiden.
“Walaupun saya ketua jurulatih pasukan profesional, saya juga masih mencuba perkara dalam Football Manager.
“Saya tidak pernah menganggap bahawa Football Manager mempunyai pengaruh terhadap kerjaya saya, namun sebaliknya yang berlaku pada ketika ini.
“Saya masih ingat ketika di Sint-Truiden, saya cuba juga memenangi liga bersama mereka dengan permainan ini,” katanya yang kini tidak mempunyai banyak masa bermain Football Manager seperti dulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!