PJS sahkan Mastaf bubar secara rasmi

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

PEJABAT Pesuruhjaya Sukan mengesahkan bahawa Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (Mastaf) telah dibubarkan secara rasmi pada 31 Januari lalu.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof berkata, pihaknya telah memaklumkan status itu kepada badan induk tersebut menerusi satu notis hujung bulan lalu.

“Berdasarkan kepada Perkara 9 Peraturan-Peraturan Pembangunan Sukan (Pendaftaran Badan Sukan) 1998, permohonan pembatalan pendaftaran melalui pembubaran bertarikh 27 Januari 2023 adalah diluluskan.

“Dengan ini Malaysia Sepaktakraw Federation dengan nombor pendaftaran K-SGR-11462 adalah dibatalkan berkuat kuasa pada tarikh pemberitahuan berkenaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sukan Sinar sebelum ini melaporkan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) telah menerima permohonan daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menjadi ahli gabungan tersebut.

Namun, Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader memaklumkan, permohonan PSM masih belum diproses daripada badan induk sepak takraw Asia tersebut.

“Ya, kami sudah menerima permohonan PSM untuk menjadi ahli gabungan Astaf pada 22 Disember lalu, namun sehingga kini ia masih belum dapat diproses oleh jawatankuasa kami.

“Ini kerana Mastaf masih ahli gabungan Astaf. Permohonan PSM hanya dapat diproses apabila Mastaf dibubarkan secara sah dan pembubaran itu disahkan PJS serta Kementerian Belia dan Sukan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!