Gempa bumi: MAPIM gesa rakyat Malaysia hulur bantuan
SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa rakyat Malaysia menghulurkan bantuan secara tunai dan barangan kepada mangsa yang terjejas akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, semua pihak di Malaysia perlu mengambil inisiatif menghulurkan apa sahaja sumbangan bagi membantu Turkiye dan Syria pada masa yang memerlukan ini.
"Satu pasukan akan dikerahkan segera untuk menilai keadaan selain mengatur operasi bantuan kemanusiaan.
"Sumbangan boleh disalurkan kepada MAPIM untuk penghantaran segera ke Turkiye dan Syria," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Gempa bumi yang melanda selatan Turkiye berhampiran bandar Gaziantep dilaporkan telah meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.
Menurut Kementerian Luar, setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terjejas dengan kejadian tersebut.
Dalam pada itu, Mohd Azmi turut merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa gempa bumi yang melanda Turki dan Syria.
"Skala kemusnahan, lebih 1,800 orang hilang dan cedera sangat mengejutkan. Gempa bumi pertama dan kedua telah meragut beribu-ribu nyawa di tengah-tengah kesejukan yang teruk sekarang di rantau ini.
"Kami menyedari sepenuhnya situasi amat sukar untuk melaksanakan operasi menyelamat. Ribut yang teruk dan cuaca beku akan menjadi cabaran hebat bagi operasi menyelamat untuk mengesan mangsa di bawah runtuhan beribu-ribu bangunan," ujarnya.
Menurut Mohd Azmi, pihaknya mendoakan agar operasi mencari mangsa yang terselamat akan berkesan.
"Kami berharap para pemimpin dunia segera bertindak balas terhadap keperluan kecemasan Turkiye dan Syria," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!