Terkejut wang lebih RM30,000 dalam akaun bank lesap
JOHOR BAHRU - Seorang wanita terkejut apabila mendapati wang simpanannya berjumlah RM34,299 lesap ketika mahu melakukan transaksi pembayaran insurans anaknya 28 Disember lalu.
Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lai itu, dia terkejut kerana mendapati wang dalam akaun banknya hanya berbaki RM20 menyebabkannya tidak dapat melakukan transaksi berkenaan.
Malah kata wanita berusia 57 tahun itu, ketika perkara berkenaan diajukan kepada pihak bank, dia dimaklumkan bahawa ada melakukan lima transaksi termasuk satu pembelian dalam talian bertarikh 27 dan 28 Disember 2022.
"Itu hari (28 Disember), saya pergi bank untuk masukkan duit insurans anak tapi saya tak boleh buat kerana baki dalam akaun hanya ada RM20.
"Saya tak tahu macam mana boleh tinggal RM20 sebab saya tak ada keluarkan duit atau buat pindahan wang, tapi pihak bank kata mereka ada hantar nombor pas pengesahan transaksi (OTP) kepada saya, namun saya tidak menerimanya.
"Bila tengok, ada enam pindahan wang dilakukan, tapi saya memang tidak kenal dan tidak tahu kepada siapa atau pihak mana yang menerimanya," katanya.
Lai berkata demikian kepada pemberita setelah mengemukakan aduan di Pusat Khidmat ADUN Johor Jaya, pada Selasa.
Sementara itu ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, perkara berkenaan perlu dipandang serius bagi mengelakkan penipuan seumpamanya berulang pada masa hadapan.
Malah katanya, tahap keselamatan membabitkan pihak perbankan juga perlu sentiasa dipertingkatkan bagi membendung penipuan dalam talian.
"Saya pernah membangkitkan isu ini pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini kerana jika ikut statistik, pada tahun lalu antara Januari hingga Jun 2022 sahaja, sebanyak RM25 juta kerugian direkodkan angkara scam, peningkatan 70 peratus berbanding tahun sebelumnya bagi negeri Johor.
"Malah, kita juga mendapati pemilik akaun terbabit masih aktif dan belum disenaraihitam.
"Oleh itu, kita berharap agar pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikannya perkara ini tidak berulang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!