52 lelaki ditahan teroka REE secara haram
SIK - Seramai 52 lelaki ditahan kerana disyaki melakukan penerokaan unsur nadir bumi (REE) secara haram di Hutan Simpan Bukit Enggang di sini minggu lalu.
Operasi yang diketuai Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) itu turut merampas peralatan dan mesin yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.
Bagaimanapun, Pengarah JPNK, Muhamad Abdullah ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung kejadian.
Menurutnya, siasatan berhubung kes terbabit masih dijalankan.
"Kita masih menyiasat dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk proses seterusnya," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, mereka hanya mengetahui tangkapan dibuat melalui laporan media yang disiarkan sebelum ini.
"Operasi depa (mereka) buat sebelum ni tangkap lebih 50 orang, itu pun baca dari media, katanya ramai warga asing kemungkinan dari China.
"Apa yang kami tahu depa (mereka) teroka secara haramlah,"dakwanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Kedah menggesa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim agar mempercepatkan penetapan prosedur operasi standard (SOP) penerokaan REE untuk mengelakkan penyelewengan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana sumber mineral itu menarik minat ramai pihak yang secara tidak langsung membuka ruang kepada aktiviti penerokaan dan perlombongan REE secara haram.
Jelas Muhammad Sanusi, ketika permintaan sangat tinggi sudah tentu ada usaha untuk membawa keluar bahan mineral itu secara haram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!