Penganggur dipenjara lima tahun, bawa senjata dalam beg
KUALA PILAH - Seorang penganggur dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah membawa pelbagai senjata tajam tanpa maksud sah pada awal bulan ini.
Tertuduh Mohd Azmil Hadir, 37, dari Bandar Seri Jempol mengaku salah sebaik pertuduhan di hadapan Hakim, Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah didapati memiliki sebilah keris bersarung kayu warna coklat, sebilah pisau bersarung warna hitam, sebilah pisau spring warna merah hitam dan sebilah pisau lipat warna biru, tanpa maksud sah.
Perbuatan itu dilakukan pada 1 Februari lalu jam lebih kurang 12.15 malam di sebuah gerai di hadapan sebuah stesen minyak di Bandar Seri Jempol.
Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Tertuduh ditahan anggota polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan berhampiran motosikalnya pada masa dan lokasi dinyatakan sebelum pemeriksaan polis menemui pelbagai senjata berbahaya di dalam beg sandang diguna tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi turut memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal selepas mengambil kira faktor kepentingan dan ketenteraman awam selain banyak senjata berbahaya ditemui dalam milikan tertuduh.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!