Gempa bumi Turkiye: Lima pelumba, kru TSG selamat

Lima pelumba serta kru pasukan TSG yang berada di Alanya, Turkiye untuk Jelajah Antalya berada dalam keadaan selamat.
Lima pelumba serta kru pasukan TSG yang berada di Alanya, Turkiye untuk Jelajah Antalya berada dalam keadaan selamat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kesemua lima pelumba serta kru pasukan berbasikal, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yang berada di Alanya, Turkiye untuk Jelajah Antalya berada dalam keadaan selamat selepas gempa bumi melanda negara itu.

Pelumba terlibat ialah Aiman Cahyadi, Wan Abdul Rahman Hamdan, Mohd Shahrul Mat Amin, Metkel Eyob dan Anatolii Budiak.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, ia berikutan kedudukan kem pasukan yang jauh iaitu kira-kira 500 kilometer dari pusat gempa bumi di bandar Gaziantep.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha menguruskan perjalanan pulang pelumba dan kru negara, namun berdepan dengan beberapa kesukaran termasuk kesesakan di lapangan terbang.

"Jelajah Antalya bertaraf 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang sepatutnya berlangsung dari 9 hingga 12 Februari telah dibatalkan oleh penganjur susulan gempa bumi itu.

"Walaupun berada jauh iaitu 500 kilometer dari pusat gempa bumi, gegarannya turut dirasai pelumba dan kru yang berada di sana," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Wan Nasiruddin walaupun jelajah tersebut dibatalkan, ia tidak menjejaskan semangat pasukan untuk terus memburu mata dalam siri jelajah yang lain.

Beliau berkata ekoran pembatalan itu, pasukan TSG kini memberi tumpuan kepada kejohanan Klasik Muscat, Oman yang akan berlangsung pada 10 Feb dan Jelajah Oman pada 11 hingga 15 Februari ini.

"Lapangan terbang Turkiye kini sesak kerana menjadi tumpuan dunia yang menghantar bantuan dan sukarelawan untuk misi kemanusiaan.

"Bagaimanapun dengan bantuan beberapa pihak, kita harap dapat membawa pulang pelumba dan kru kita dalam masa terdekat," katanya.

Gempa bumi pada kekuatan 7.8 pada skala Richter yang menggegarkan Turkiye pada 4.17 pagi waktu tempatan telah mengorbankan lebih 1,400 nyawa setakat ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!