'Tidak sangka ada pihak guna akaun Najib lakukan jenayah'
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, dia tidak menyangka ada pihak akan menggunakan akaun bank Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melakukan pengubahan wang haram.
Joanna Yu Ging Ping, 52, berkata demikian dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram, dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Saksi pendakwaan ke-41 ini berkata, kebiasaannya, Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengambil maklum mengenai akaun seorang Perdana Menteri termasuk transaksi yang berlaku.
“Mereka pastinya memerhatikan akaun berkenaan kerana ia diklasifikasikan sebagai sensitif.
“Najib ketika kejadian merupakan Perdana Menteri, secara tidak langsung menjadi individu yang terdedah secara politik,” katanya semasa sesi soal balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam itu kemudiannya mencadangkan, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah menggunakan kod nama seperti 'pai Amerika' bagi mata wang dolar (USD) manakala 'satay' untuk Ringgit Malaysia dalam urusan melibatkan akaun bank Najib.
Ini kerana beliau berkata, seseorang akan menggunakan nama kod apabila mereka terlibat dalam pengubahan wang haram.
Muhammad Shafee berkata, AmBank sepatutnya dimaklumkan dengan tingkah laku Jho Low, kerana sering menggunakan kod nama bagi menggambarkan sesuatu perkara.
Muhammad Shafee: Awak percaya pada Jho Low sepenuhnya?
Joanna: Ya.
Muhammad Shafee: Kamu tidak pernah terlintas, bahawa transaksi berkaitan pengubahan wang haram mungkin berlaku?
Joanna: Saya tidak pernah terfikir, seseorang akan menggunakan akaun Perdana Menteri untuk melakukan jenayah.
Bagaimanapun, saksi ini berkata, Najib pastinya mengetahui mengenai transaksi dalam akaun banknya.
Ini kerana katanya, bekas Ahli Parlimen Pekan ini melakukan pengeluaran wang termasuk menggunakan cek, malah kad kreditnya diguna sepanjang tempoh itu.
Bagaimanapun, Muhammad Shafee mencelah dengan menyatakan Najib berbuat demikian kerana menganggap wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya itu adalah derma daripada Arab Saudi.
“Adakah dengan menggunakan kad kredit dan mengeluarkan cek, anak guam saya patut tahu apa yang Jho Low lakukan ke atas akaun berkenaan,” tanya peguam tersebut.
Joanna yang menguruskan lima akaun peribadi Najib (ketika itu) menjawab tidak tahu dan ia menjadi tugas Jho Low untuk memaklumkan perkara tersebut kepada Najib.
Saksi ini kemudiannya bersetuju bahawa pemimpin UMNO itu mungkin tidak mengetahui keadaan akaun banknya, jika Jho Low tidak memaklumkan perkara sebenar.
Muhammad Shafee: Kamu tidak akan tahu sama ada Jho Low ada maklum perkembangan akaun pada Najib atau Jho Low merupakan seorang penipu?
Joanna: Tidak tahu.
Dalam pada itu, saksi tersebut memberitahu bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil dan Jho Low memberi peringatan kepadanya supaya memastikan cek milik Najib tidak ditendang.
Muhammad Shafee: Saya cadangkan kalau perkara itu berlaku, Najib akan menyedari keadaan sebenar yang berlaku dalam akaunnya.
Joanna: Tidak setuju, saya tidak tahu apa yang berlaku antara Jho Low dan Najib.
Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!