Lebih 30 pangkalan haram dikesan aktif aktiviti penyeludupan
TUMPAT - Lebih 30 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sini dan Rantau Panjang dikenal pasti aktif dengan aktiviti penyeludupan barangan kawalan negara ke Thailand.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, susulan itu pihaknya akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kerjasama dengan pelbagai agensi dalam membendung aktiviti tersebut.
"Sepanjang Januari lalu kita telah merampas pelbagai barangan kawalan bernilai RM144,077.50 yang mahu diseludup ke negara jiran.
"Kesemua rampasan itu melibatkan Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut beliau, melalui kerjasama bersepadu antara agensi, KPDN Kelantan berjaya merekodkan 13 tindakan kes berkait dengan Akta Kawalan Bekalan 1961 sehingga 6 Februari lalu.
Ujarnya, rampasan itu melibatkan barang kawalan antaranya gula, minyak masak, tepung gandum, petrol dan diesel serta kenderaan bernilai RM28,180.
Azman memberitahu, pada masa sama pihaknya akan mempergiatkan lagi usaha dengan mengadakan pemantauan rondaan pencegahan penyelewengan subsidi di stesen-stesen minyak sekitar radius 50 kilometer (km) dari sempadan negara.
Ujarnya, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang terlibat dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!