MBPJ buka kaunter bergerak EZPay sepanjang Februari
SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuka kaunter bergerak EZPay sempena musim pembayaran cukai taksiran sepanjang Februari ini.
Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat MBPJ dalam kenyataannya memberitahu, inisiatif itu sebagai usaha dan langkah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk mengurangkan kesesakan di kaunter ibu pejabat terutama pada waktu puncak.
Kenyataan itu memaklumkan, ia memberi kemudahan dan menggalakkan orang awam hadir ke kaunter bergerak berhampiran dengan kediaman tanpa ke kaunter utama lain.
"Antara kawasan yang akan dilawati sepanjang bulan Februari ini seperti di Jalan Cempaka SD 12/1; Jalan PJU 5/14; Jalan SS 24/8; Jalan PJS 8/6; Jalan SS 2/60; Jalan SS 6/3 dan JALAN PJU 1A/48," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, sempena musim pembayaran cukai itu juga, operasi kaunter di Ibu Pejabat dan Pejabat Cawangan MBPJ akan dibuka pada setiap Sabtu sepanjang bulan Februari bermula dari jam 9 pagi hingga 2 petang.
Sehubungan itu, kenyataan itu menjelaskan, hebahan itu diharap dapat melancarkan segala urusan dan perancangan MBPJ seterusnya memberikan kemudahan kepada orang awam untuk berurusan tanpa perlu hadir ke ibu pejabat MBPJ.
Bagaimanapun kenyataan itu memaklumkan, MBPJ amat menggalakkan orang awam untuk membuat semakan dan bayaran secara dalam talian dengan melayari https://ecukai.mbpj.gov.my/mbpjesalinanbil dengan menggunakan aplikasi eCukai@MBPJ atau laman ePay@MBPJ.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!