Kerajaan bakal laksana sistem kutipan tol tanpa henti
SHAH ALAM - Kerajaan bakal melaksanakan sistem kutipan tol tanpa henti sebagai alternatif baharu bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di negara ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, teknologi tersebut bakal direalisasikan di dalam sistem lebuh raya negara.
“Teknologi ini mampu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di plaza tol yang sering dihadapi oleh pengguna jalan raya contohnya di Tol Gombak dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) (sesak akibat plaza tol).
"Terima kasih pihak lebuh raya atas taklimat hari ini,” ciapnya dalam satu hantaran di Twitternya pada Selasa.
Tambah Abdul Rahman, pengenalan sistem baharu itu diyakini tidak akan melibatkan penambahan kos kepada pengguna mahupun kenaikan kadar tol pada mana-mana lebuh raya.
“Pihak KKR (Kementerian Kerja Raya) melalui LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia) juga telah membuat analisa penuh mengenai kaedah terbaik perlaksanaan ini,” ujarnya.
Tambah beliau, KKR akan sentiasa mencari kaedah yang terbaik bagi memberi keselesaan kepada semua pengguna jalan raya.
“Dan pengguna dapat meneruskan perjalanan dengan selamat ke destinasi yang dituju,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!