Gempa bumi: Dunia sukan turut bersolidariti
ANKARA - Pertubuhan sukan, liga, kelab dan pemain turut menyuarakan simpati kepada Turkiye susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu yang setakat ini sudah meragut kira-kira 2,316 nyawa manakala 13,293 lagi cedera.
Gempa bumi turut dilaporkan melanda beberapa wilayah di Syria.
Badan induk bola sepak Eropah, UEFA dan EuroLeague Basketball bersama-sama mengucapkan takziah menerusi Twitter.
"Ingatan kami UEFA dan komuniti bola sepak Eropah bersama rakyat Turkiye dan Syria dan semua yang terjejas akibat gempa bumi dahsyat...," ciap UEFA.
Serie A Itali, Bundesliga Jerman dan Ligue 1 Perancis serta kelab Real Madrid dan Barcelona turut mengucapkan tazkiah menerusi akaun Twitter masing-masing.
"Real Madrid C. F., presiden kelab dan Lembaga Pengarahnya bersimpati dan bersolidariti dengan mereka yang terkesan akibat gempa bumi yang melanda Turki dan Syria...," menurut Real Madrid.
Pemain tengah Real Madrid, Luka Modric turut menyiarkan emoji tanda simpatai untuk Turkiye dan Syria di akaun Twitternya.
Pasukan Liga Perdana Inggeris, Liverpool menerusi Twitter, menulis: "Ingatan kami bersama mereka yang terjejas oleh gempa bumi yang dahsyat di Turki dan Syria."
Bintang Liverpool Mohamed Salah turut mengucapkan takziah: "...Takziah saya kepada waris mangsa yang terkorban dan saya berharap semua yang cedera segera sembuh."
Menteri Belia dan Sukan Turkiye Mehmet Kasapoglu berkata semua aktiviti pertubuhan sukan di negara itu ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
Sekurang-kurangnya 2,921 orang terbunuh dan 15,834 lagi cedera akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan bahagian selatan negara itu.
Pada awal pagi Isnin, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter menggegarkan beberapa wilayah termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis.
Diikuti gempa dengan kekuatan 7.6 pada skala Richter melanda Kahramanmaras pada 13.24 malam (1024GMT). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!