'Pemimpin Bersatu seolah-olah lidah bercabang' - Mahfuz

Mahfuz (kanan) membuat tinjauan pelaksanaan Menu Rahmah di Pasaraya Besar Mydin, Alor Mengkudu Alor Setar pada Selasa.
Mahfuz (kanan) membuat tinjauan pelaksanaan Menu Rahmah di Pasaraya Besar Mydin, Alor Mengkudu Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa kononnya agensi kerajaan dijadikan sebagai alat politik susulan pembekuan akaun parti itu disifatkan menampakkan kepimpinan parti itu bersikap lidah bercabang.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, ia memandangkan sikap dan kenyataan dikeluarkan kepimpinan parti sewaktu akaun UMNO dibekukan sebelum ini berbeza berbanding ketika akaun mereka dibekukan kini.

Beliau berpandangan, tindakan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin membuat tuduhan itu dengan mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ingin mencapai matlamat politik mereka juga tidak sepatutnya berlaku.

"Dahulu, sewaktu pembekuan akaun UMNO, mereka kata itu merupakan proses biasa dilakukan SPRM dalam menjalankan siasatan. Tetapi hari ini, mereka sendiri menbantah apabila berlaku (siasatan) ke atas akaun parti mereka.

"Jadi, saya fikir bahawa kalau mereka yakin tidak ada perkara berkaitan dengan pengubahan wang haram dalam akaun mereka. Jadi, mereka tidak perlu takut," katanya.

Mahfuz berkata sedemikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pelaksanaan Menu Rahmah di Pasaraya Besar Mydin, Alor Mengkudu di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Dr Ismail Salleh dan ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris.

Mahfuz berkata, Bersatu juga perlu sedar bahawa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pernah mendedahkan mengenai campur tangan dalam agensi itu di akhir perkhidmatannya dan ia sememangnya berlaku sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

"Jadi, saya nampak macam pemimpin Bersatu ini seolah-olah lidah bercabang," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mahfuz berkata, beliau merasakan ada sesuatu tidak kena susulan sikap kepimpinan Bersatu seakan-akan 'takut' apabila akaun parti itu dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

"Nampaknya semacam ada yang tidak kena dengan akaun itu. Mungkinkah jumlah wang yang diperkatakan itu lebih besar daripada RM300 juta seperti digembar-gemburkan sebelum ini?

"Jika inilah sikap ditampilkan pemimpin mereka, maka saya rasa rakyat akan makin yakin mengenai kemungkinan wujudnya unsur-unsur tertentu dalam perolehan wang tersebut. Itu wang yang ada dalam akaun dan kita pun tak tahu kemungkinan masih ada yang lain di rumah," katanya.

Disebabkan itu, beliau merasakan kepimpinan Bersatu seolah-olah kelam kabut dengan pembekuan akaun parti mereka, sedangkan sekiranya bersih mereka seharusnya membiarkan sahaja siasatan dilakukan.

Pada 1 Februari lepas, Hamzah dilaporkan memaklumkan Bersatu melahirkan rasa kesal terhadap tindak-tanduk kerajaan PH-BN yang menjadikan agensi di bawah pemerintahannya sebagai alat untuk mencapai matlamat politik mereka, sekali gus mempunyai hasrat untuk membunuh kredibiliti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Ketika diminta mengulas mengenai perkembangan hubungan antara PH dan BN di Kedah, menurut Mahfuz yang juga Pengerusi PH Kedah, masih belum ada perbincangan serius berhubung perkara itu, namun ada melakukan perkara itu secara tidak rasmi.

"Kami yakin gabungan ini mampu memecah dominasi Pas di Kedah kerana tiada apa yang mustahil dalam politik. Di Kedah dulu, pernah terjadi Pas hanya memerintah satu penggal saja ketika Tan Sri Abdul hadi Awang menjadi Menteri Besar.

"Ia tidak mustahil turut berlaku di sini, apatah lagi kerajaan negeri Kedah ini hanya tertubuh hasil pengkhianatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!