[VIDEO] Gempa bumi: Bantuan global mencurah-curah untuk Turkiye, Syria

Pasukan penyelamat antarabangsa Korea Selatan memeriksa peralatan mereka di Ibu Pejabat 119 Penyelamat Nasional di Namyangju, untuk menyalurkan bantuan ke Turki yang dilanda gempa bumi. - Foto EPA
Pasukan penyelamat antarabangsa Korea Selatan memeriksa peralatan mereka di Ibu Pejabat 119 Penyelamat Nasional di Namyangju, untuk menyalurkan bantuan ke Turki yang dilanda gempa bumi. - Foto EPA
A
A
A

ANKARA - Negara di seluruh dunia mengumumkan bantuan untuk Turkiye dan Syria selepas dua gempa bumi kuat menggegarkan selatan Turkiye pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Pakistan, India dan Malaysia bergegas menghantar pasukan penyelamat mereka ke Turkiye.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, John Kirby berkata, pada Isnin bahawa AS "dalam proses mengerah" 79 lagi anggota bagi membantu kakitangan yang sudah berada di lapangan "dalam menyokong usaha mencari dan menyelamat serta membantu menangani keperluan mangsa yang cedera atau hilang tempat tinggal akibat gempa bumi."

Setakat ini, 3,381 orang dilaporkan terkorban manakala 20,426 yang lain cedera di 10 wilayah Türkiye selepas dua gempa bumi kuat pada Isnin melanda bahagian selatan negara itu, kata seorang pegawai dari agensi bencana pada Selasa.

Awal pagi Isnin, gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter melanda daerah Pazarcik, Kahramanmaras termasuk beberapa wilayah lain seperti Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis.

Gempa bumi susulan berukuran 7.6 pada skala Richter kembali menggegarkan negara itu pada 13.24 petang (1024GMT) waktu tempatan di daerah Elbistan Kahramanmaras pada hari sama.

Di Syria, pegawai kerajaan dan penyelamat melaporkan sekurang-kurangnya 1,300 orang terbunuh manakala lebih 2,400 yang lain cedera dalam kejadian yang sama.

"Kerajaan China turut menyediakan bantuan kecemasan kepada Türkiye dan Syria dengan bantuan kecemasan pertama 40 juta yuan (US$5.8 juta) dihantar ke Türkiye,” menurut jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying menerusi ciapan di Twitter.

Jepun menyatakan kesediaannya untuk memberi sokongan yang diperlukan, dengan menghantar sepasukan 18 kakitangan ke Istanbul pada pagi Selasa untuk menyertai operasi menyelamat dan bantuan.

Korea Selatan pada Selasa mengumumkan akan menghantar kira-kira 60 anggota pasukan penyelamat antarabangsa dan bekalan perubatan kecemasan ke Türkiye, lapor media tempatan.

Menteri Dalam Negeri Taiwan Lin Yu-chang mengimbas kembali bantuan dan sokongan Türkiye hampir 24 tahun lalu, sambil berkata "kini giliran Taiwan untuk membantu," dan telah menghantar pasukan operasi menyelamat dan bantuan, dan satu lagi misi bantuan akan berlepas pada Selasa.

Sementara itu, Pakistan juga menghantar kumpulan penyelamat dan barangan bantuan ke Türkiye untuk mangsa gempa bumi pada Isnin.

Sebuah pesawat C-130 yang membawa pasukan mencari dan menyelamat Tentera Pakistan, bersama 25 tan barangan bantuan, berlepas dari Pangkalan Udara Chaklala di Rawalpindi lewat Isnin, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Mulai Rabu dan seterusnya, penerbangan PIA akan membawa 15 dan tujuh tan barangan bantuan masing-masing ke Türkiye dan Syria setiap hari, tambah kenyataan itu.

India juga menghantar bantuan menggunakan pesawat Tentera Udara India (IAF) ke Türkiye pada malam Isnin.

"Kumpulan pertama bantuan gempa bumi berlepas ke Türkiye bersama Pasukan Mencari dan Menyelamat Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), skuad anjing terlatih khas, bekalan perubatan, mesin penggerudi dan peralatan lain yang diperlukan," menurut Arindam Bagchi, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India dalam ciapannya.

Kerajaan mengumumkan bahawa dua pasukan NDRF terdiri daripada 100 anggota dengan skuad anjing terlatih khas dan peralatan yang diperlukan bersedia dihantar ke kawasan yang dilanda gempa bumi untuk operasi mencari dan menyelamat.

Australia dan New Zealand pada Selasa mengumumkan bahawa mereka akan menyalurkan berjuta-juta dolar bantuan kemanusiaan untuk mangsa gempa bumi yang dahsyat di Türkiye dan Syria.

Australia telah menyediakan bantuan kemanusiaan awal berjumlah U$10 juta (AS$6.94 juta) kepada mereka yang terjejas melalui rakan kongsi Palang Merah dan Bulan Sabit Merahnya serta melalui agensi kemanusiaan manakala New Zealand akan menyumbang NZD$1.5 juta (US$948,007).

Poland pada Isnin mengumumkan bantuan segera untuk Türkiye, termasuk sepasukan 76 anggota bomba dan lapan anjing penyelamat telah dikerah ke negara itu.

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menghulurkan bantuan kepada Turkiye, dengan 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dihantar untuk membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan negara itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!