Penguat kuasa DBKL bongkar Pak Arab cuba kelentong
KUALA LUMPUR - Jika Masjid Negara mempunyai pekerja pembersihan yang tahu bertutur bahasa Jepun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula mempunyai penguat kuasa fasih berbahasa Arab.
Baru-baru ini, tular video di media sosial tentang pegawai penguat kuasa, Mohd Rozzy Muhammad, 54, berkomunikasi dalam bahasa Arab ketika berdepan dengan seorang peniaga dari Timur Tengah yang didapati beroperasi tanpa lesen.
Kejadian tersebut berlaku di Setiawangsa apabila dikatakan peniaga shawarma itu tidak memahami bahasa Melayu dan bahasa Inggeris menyebabkannya masih kekal beroperasi di lokasi sama walaupun telah tiga kali dikenakan tindakan.
Mohd Rozzy bagaimanapun mendakwa, peniaga berkenaan bukan tidak memahami bahasa Melayu tetapi berpura-pura tidak tahu kerana mahu mengelak dikenakan tindakan.
"Setelah disoal siasat dalam bahasa Arab, rupa-rupanya lelaki berkenaan telah tinggal di Malaysia lebih 10 tahun dan isterinya merupakan rakyat tempatan.
"Pada kesempatan itu, saya beri penerangan kepadanya tentang prosedur dan peraturan ditetapkan oleh DBKL untuk operasi perniagaan," kongsinya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Bercerita lanjut, pemegang Diploma Bahasa dan Syariah Undang-Undang dari universiti tempatan ini berkata, tidak ramai mengetahui beliau mahir berbahasa Arab melainkan beberapa kenalan terdekatnya.
Ujarnya, kemahiran tersebut diperoleh ketika beliau mengikuti kelas bahasa Arab di Pakistan sebagai persediaan menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar.
"Hampir empat tahun saya mengikuti kelas bahasa pada tahun 80-an namun hasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi tidak kesampaian susulan Perang Teluk Iran-Iraq menyebabkan visa pelajar Malaysia tidak diluluskan.
"Saya kemudian kembali ke Malaysia menyambung pengajian di universiti tempatan sebelum diterima bekerja di DBKL pada tahun 90-an bermula di unit berkuda sebelum ditukarkan ke beberapa unit lain," katanya.
Sepanjang lebih 30 tahun berkhidmat di DBKL, Mohd Rozzy berkata, dia pernah bertugas di Bukit Bintang yang merupakan lokasi tumpuan pelancong dan juga hotspot peniaga dari negara Arab menjalankan perniagaan makanan.
"Kemahiran berbahasa Arab banyak membantu tugas penguatkuasaan memandangkan kebanyakan daripada mereka tidak mahir berbahasa luar melainkan jika telah lama tinggal di Malaysia.
"Ada juga antara mereka faham bahasa kita namun pura-pura tidak faham bagi mengelak dikenakan tindakan.
"Saya gunakan kemahiran yang ada untuk memberikan penerangan lebih jelas tentang prosedur betul menjalankan perniagaan," katanya.
Beliau berpandangan, kelebihan penguat kuasa menguasai lebih daripada satu bahasa adalah satu keperluan susulan skop tugasan berurusan dengan orang awam dari dalam dan luar negara.
"Sebagai petugas barisan hadapan, mahir bertutur lebih daripada satu bahasa adalah satu kelebihan. Berbahasa Inggeris itu perkara biasa dan kita juga perlu mempunyai ilmu bahasa-bahasa lain.
"Jadi saya cadangkan wujudkan kelas bahasa. Tidak silap saya, DBKL ada sediakan banyak kursus tetapi ia kurang mendapat sambutan, peluang tersebut perlu dimanfaatkan sebaiknya," katanya yang turut memahami bahasa Urdu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!