Isu fasiliti: KKM, pengarah hospital adakan pertemuan berkala

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan pertemuan berkala dengan pengarah-pengarah hospital dan pihak berkepentingan bagi mengenal pasti punca pelbagai isu yang berlaku di fasiliti kesihatan serta mencari penyelesaiannya, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, KKM juga ketika ini sedang menunggu maklum balas berhubung keberkesanan pelaksanaan beberapa langkah yang dirangka bagi mengatasi masalah di fasiliti berkenaan, contohnya kesesakan di Jabatan Kecemasan.

"Antara perkara pertama kita (KKM) nak buat ialah audit dan kita juga nak melihat keberkesanan beberapa perkara yang telah kita laksanakan contohnya waktu standard klinik kesihatan.

"Terbaharu, contohnya di Hospital Klang (Hospital Tengku Ampuan Rahimah), mereka memastikan yang hadir ke Jabatan Kecemasan hanya pesakit yang betul-betul mengalami kecemasan (sementara) kes bukan kritikal disalurkan kepada klinik.

"Itu langkah yang mereka rasa terbaik untuk fasiliti mereka dan ini harus dibuat pertemuan berkala, pemantauan, kemudian tengok kesannya," katanya dalam temu bual bersama media di sini pada Selasa.

Dr Zaliha berkata, KKM juga telah menghantar beberapa pegawainya untuk turun ke lapangan bagi mengenal pasti situasi sebenar yang berlaku di hospital dan klinik kesihatan.

"Semua ini (maklum balas) akan dikumpulkan dan kita akan lihat apakah cara yang terbaik untuk mengatasi masalah berkaitan," katanya.

Dr Zaliha dalam ciapan di Twitter beliau semalam berkata, KKM akan terus mendengar dan berusaha mengenal pasti penyelesaian bagi isu-isu melibatkan jabatan kecemasan di hospital. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!