Skuad taekwondo negara sasar dua emas di Kemboja
TAEKWONDO Malaysia (TM) yakin dapat mencapai sasaran dua pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-32 Kemboja di Phnom Penh pada 5 hingga 16 Mei ini.
Setiausaha Agung TM, R. Dhanaraj berkata, sasaran realistik itu dapat memperbaiki pencapaian kem taekwondo negara pada edisi sebelum ini, iaitu meraih satu emas masing-masing pada 2019 menerusi acara poomsae dan acara kyorugi pada 2022.
"TM turut menyasarkan satu perak dan tiga gangsa pada edisi kali ini," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil pada Selasa.
Pada Sukan SEA Filipina 2019, pasukan taekwondo negara membawa pulang satu emas, dua perak dan lima gangsa manakala satu emas, satu perak dan tiga gangsa pada edisi di Hanoi, Vietnam, tahun lepas.
Menurutnya, pasukan taekwondo negara bakal menyertai 15 daripada 24 acara yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.
Beliau berkata, TM dalam masa sama sedang membuat persiapan rapi berhubung senarai nama penuh atlet yang bakal menggalas cabaran di Kemboja sebelum ia dimuktamadkan pada 19 Februari ini.
"TM masih belum memutuskannya kerana terdapat kejohanan kebangsaan akan diadakan pada pertengahan bulan nanti. Di situ kita akan nilai prestasi sebelum memutuskan atlet terbaik ke Sukan SEA.
"Selepas itu atlet yang terpilih akan melakukan persiapan ke kejohanan praSukan SEA pada Mac diiikuti kem latihan di Korea Selatan selama enam minggu sebelum ke Kemboja," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!