Gempa bumi Turkiye: Greece ketepikan sengketa politik

A
A
A

ATHENS - Greece mengambil pendekatan untuk mengetepikan pertelingkahan bersama Turkiye yang tercetus pada September lalu selepas ia menawarkan bantuan segera kepada Ankara.

Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis pada Isnin menghubungi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Isnin dan turut menerima respons positif walaupun hubungan kedua-dua negara agak tegang sebelum ini.

Mitsotakis juga berikrar untuk menggunakan segala sumber yang ada bagi membantu ‘musuhnya’ yang sedang dirundung duka setelah dilanda gempa berukuran 7.8 pada skala Richter.

Menurutnya, Ankara memberi lampu hijau kepada Athens dan ia bersedia untuk menghantar bekalan tambahan terdiri daripada ubat-ubatan, selimut dan khemah, namun ia bergantung kepada permintaan Ankara.

Erdogan dengan rasa rendah diri mengucapkan terima kasih kepada Mitsotakis sokongan beliau dan tindakan pantas mengerahkan pesawat tentera C-130 yang membawa pasukan penyelamat dan bekalan bantuan.

“Ketua Agensi Perlindungan Gempa di Athens akan turut serta dalam misi itu,” ujar jurucakap pemerintah.

Pada 2020, Greece dan Turkiye pernah bekerjasama dalam usaha pemulihan selepas gempa kuat menggegar Laut Aegean yang menyebabkan kemusnahan besar di Ankara.

Sejak beberapa bulan lalu, Erdogan berulang kali mengancam untuk melancarkan kempen pencerobohan ke atas Greece berhubung pertikaian hak wilayah dan penerokaan hidrokarbon di Laut Aegean.

Perang mulut antara Erdogan dan Mitsotakis kemudiannya berlarutan ketika Sidang Kemuncak Pemimpin Eropah di Prague pada Oktober lalu. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!