[VIDEO] Keadaan ekonomi bertambah baik, tak perlu pengeluaran KWSP
SHAH ALAM - Keadaan ekonomi yang semakin baik sebenarnya tidak memerlukan pencarum membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan (KWSP) ketika ini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, berbanding dua tahun yang lalu, situasinya agak berbeza kerana pada masa itu adalah waktu kritikal terutama Covid-19 tengah menular dan mengancam kehidupan harian rakyat.
“Saya cukup faham permintaan daripada rakyat yang ingin membuat pengeluaran dan pada masa yang sama perkara ini dibenarkan dua tahun lepas tiga kali dibenarkan pengeluaran KWSP.
“Pada masa itu juga pergerakan rakyat dihadkan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bisnes dihentikan dan tak boleh pergi kerja,” katanya ketika Wacana Sinar siri 383 ‘KWSP 2.0: Tak beri, merajukkah rakyat?’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panel Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid dan Presiden Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin Malaysia, Jannahtul Ain Jaafar yang dihoskan oleh Ismail Adnan
Jelasnya, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyelesaikan masalah supaya rakyat dapat teruskan kehidupan di mana pengeluaran khas KWSP dibenarkan.
“Berbanding dengan sekarang situasi berbeza, walaupun kita faham kesusahan itu belum pulih sepenuhnya tapi ekonomi telah dibuka lebih kurang setahun.
“Maka permintaan itu dilihat ikut konteks tersebut kerana KWSP kalau ikut dulu pun memang tidak benarkan pengeluaran maka ianya kembali kepada peraturan asal,” katanya.
Mengulas lanjut sama ada beliau bersetuju atau tidak pengeluaran KWSP dilaksanakan, Chean Chung berkata, beliau sudah meneliti data dalam kes berkenaan kerana pengeluaran KWSP berlaku berlandaskan kepada isu-isu kritikal.
“Memang isu kritikal kalau ikut sekarang pengeluaran terhad memang dibenarkan akaun dua untuk tunai ibadah haji, perubatan dan tujuan pendidikan memang dibenarkan.
“Jadi tidak wujud sama sekali kata tak boleh keluar KWSP,” ujarnya
Jelasnya, pada masa yang sama kita juga perlu lihat bahawa memang simpanan pencarum pada tahap yang sangat rendah.
“Sekarang terdapat 50 peratus pencarum simpanan kurang daripada RM10,000.
“Kerajaan perlu tambah baik kemudahan kehidupan untuk rakyat demi masa depan lebih terjamin,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!