Maksud wajib patuhi syariat beza dengan tiada paksaan beragama
KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Setiap individu beragama Islam tertakluk kepada hukuman wajib mematuhi syariat Islam.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, perkara itu tidak boleh disangkal dan wajib dipatuhi jika hukuman itu dilaksanakan pihak pemerintah bagi sesebuah negara.
Menurutnya, hukuman wajib mematuhi syariat Islam dan tiada paksaan dalam beragama memberi maksud yang berbeza.
“Tiada paksaan dalam beragama bermaksud orang bukan Islam tak dipaksa untuk memeluk Islam, tetapi seruan Islam mesti disampaikan kepada mereka. Ruang untuk menyampaikan dakwah Islam jangan disekat.
“Selepas itu, terserah kepada mereka sama ada nak terima atau tidak. Pemerintah Islam tak boleh paksa, ugut, tekan, tangkap atau yang sewaktu dengannya supaya mereka memeluk Islam,” katanya.
Dr Azman berkata, individu yang beragama Islam tertakluk kepada hukum untuk wajib mematuhi syariat Islam.
“Pemerintah mesti memastikan umat Islam dalam negeri atau negara hidup dengan pematuhan kepada syariat ALLAH. Ada ketikanya sampai memerlukan penguatkuasaan undang-undang.
“Contohnya, jika pemerintah mewajibkan menunaikan solat Jumaat atau mewajibkan wanita Islam menutup aurat, itu tak dinamakan paksaan dalam beragama. Benda sebegini mudah saja nak faham, kecuali kalau ada niat nak putar belit,” katanya.
Terdahulu, Latheefa Koya menerusi tulisan di laman sosialnya mengingatkan orang ramai supaya tidak memaksa wanita bertudung kerana tiada paksaan dalam Islam berkaitan tuntutan berkenaan.
Dia yang juga seorang peguam dikatakan langsung tidak setuju jika orang Islam dipaksa memakai tudung kerana ia tidak selaras dengan prinsip Islam.
Selain itu, Latheefa bukan sahaja mempertikaikan tanggapan terhadap seorang yang tidak memakai tudung sebagai masuk neraka, murtad dan perempuan jalang malah menyifatkan ia sebagai bentuk pemikiran yang ekstremis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!