Nikah Siam mudah, tapi sengsara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MENURUT Islam, pernikahan ialah akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggungjawab.

Dalam erti kata lain, suatu akad yang menghalalkan persetubuhan dengan sebab perkataan yang mengandungi lafaz nikah, perkahwinan dan sebagainya.

Awal Januari lalu, seorang pengarah filem terkenal secara terbuka membuat pengakuan telah bernikah di Thailand tanpa kebenaran isteri pertama sekali gus menggegarkan industri seni tanah air.

Sejujurnya, isu bernikah di Thailand bukanlah sesuatu yang baharu malah sudah berlaku sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Poligami merupakan faktor utama rakyat Malaysia bernikah di negara Gajah Putih itu selain hubungan pasangan muda tidak mendapat restu keluarga.

Pemilihan Thailand sebagai lokasi untuk menghalalkan hubungan itu kerana prosedur berbuat demikian cukup mudah selain mengikut hukum syarak sebagaimana yang telah ditetapkan oleh agama.

Sebenarnya, di sebalik kebahagiaan itu, terselit 'sengsara' sekiranya pernikahan tersebut tidak didaftarkan sebagaimana peraturan yang telah ditetapkan oleh negara ini.

Hal ini kerana kebanyakan pasangan yang bernikah di Thailand mengambil mudah perkara tersebut sehinggalah mereka berdepan dengan masalah barulah 'kalut' untuk mencari jalan penyelesaian.

Memburukkan lagi keadaan, ada pasangan terjebak dengan perkahwinan sindiket yang tidak mendapat pengiktirafan dari pihak berkuasa agama di negara berkenaan.

Malah sijil pernikahan yang dikeluarkan itu turut palsu sekali gus mengundang pelbagai polemik yang boleh memberikan kesan kepada ikatan pernikahan itu.

Situasi itu menyebabkan pasangan berkenaan berdepan dengan masalah yang lebih besar kemudian hari sekiranya pernikahan tersebut dikurniakan zuriat.

Sinar Harian pernah melaporkan satu kisah 'keperitan' yang dihadapi oleh seorang ibu tunggal yang berjuang untuk memastikan sembilan anaknya mendapat pengenalan diri sebagai warganegara Malaysia selepas bernikah menggunakan saluran tidak sah di Thailand.

Sikap 'ambil mudah' suaminya ketika itu yang enggan melapor diri apabila dipanggil oleh pejabat agama menyebabkan pernikahan tersebut gagal didaftarkan mengikut undang-undang negara.

Bahana akibat sikap suami itu menyebabkan anak-anak wanita berkenaan tidak mempunyai surat beranak.

Perit perjuangan itu bukan kepalang apabila ibu tunggal tersebut terpaksa 'menebalkan' muka naik turun pejabat pendaftaran untuk memastikan anak-anaknya diberikan taraf sebagai warganegara.

Tidak cukup dengan itu, dia turut keluar masuk Pejabat Pendidikan Daerah membuat rayuan bagi memastikan anak-anaknya diberikan hak untuk menuntut ilmu.

Usaha tanpa jemu wanita berkenaan akhirnya berhasil apabila anaknya yang berusia antara 6 hingga 24 tahun sudah mempunyai dokumen pengenalan diri.

Paparan kisah ini wajar dijadikan iktibar kepada pasangan yang ingin berkahwin di Thailand. Berfikirlah secara matang sebelum membuat keputusan yang akan menentukan masa depan diri dan anak-anak.

Jangan hanya fikirkan keseronokan 'sementara' sedangkan ramai yang akan menderita disebabkan sikap ambil mudah perkara ini.

Di Terengganu, hukuman berat bukan saja menanti pasangan yang 'lari' untuk bernikah di Thailand, malah wali dan saksi juga turut sama bakal dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

Di Selangor pula, pernikahan pasangan tempatan di luar negara tidak diiktiraf undang-undang jika tidak didaftarkan dengan jabatan agama di negara ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan walaupun pernikahan itu sah di sisi Islam, setiap pasangan yang gagal mendaftar tetap tidak diiktiraf, sekali gus akan menimbulkan pelbagai masalah lain pada masa akan datang.

Oleh itu, bagi para suami yang sedang berkira-kira hendak berpoligami, janganlah mengambil sikap penting diri tanpa memikirkan kesan dan tindakan kepada orang lain terutama isteri pertama, anak-anak dan ahli keluarga terdekat.

Fikirlah dengan sedalam-dalamnya kerana ikatan perkahwinan sepatutnya bermula dengan kegembiraan dan bukannya mengundang musibah atau sengsara yang akhirnya memudaratkan banyak hati-hati insan tersayang.

*Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Wartawan Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!