Zii Jia tetap mahu bergerak solo
PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia belum 'terbuka hati' untuk mengubah pendirian bagi mendapatkan bimbingan jurulatih selepas 'berpisah' dengan Indra Wijaya tahun lalu.
Zii Jia tekad untuk kekal bergerak solo di sebalik desakan pelbagai pihak agar pemain nombor empat dunia itu mempertimbangkan semula keputusannya itu.
“Saya hanya mahu fokus apa yang ada di depan. Saya perlu lakukannya. Secara jujur, setakat ini memang saya tidak ada fikir untuk ambil jurulatih dan tetap dengan pendirian itu,” ujar Zii Jia.
Bagaimanapun juara Seluruh England 2021 itu dalam nada merendah diri tetap menghormati pandangan yang diberikan bekas pemain kebangsaan terhadap keputusannya sebelum ini.
“Bukan saya enggan mengulas komen-komen yang diberikan sebelum ini. Tindakan itu bukan saya tidak menghormati mereka, saya tetap hormat kerana mereka adalah legenda.
“Apa yang mereka bagi (pandangan) itu saya terima, tetapi saya tidak boleh layan semua kerana satu komen ini dan satu komen itu. Kalau saya layan, tidak betul juga kerana saya pun tidak ada banyak masa,” katanya.
Bekas pemain negara, Datuk Rashid Sidek dan Roslin Hashim menyarankan Zii Jia agar menimbang semula keputusan melantik jurulatih selepas berpisah dengan jurulatih dari Indonesia itu November tahun lalu.
Pemain yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu berdepan kemerosotan prestasi apabila tewas pada pusingan kedua Indonesia Masters pada 26 Januari lalu.
Zii Jia sebelum itu kecundang pada pusingan kedua Terbuka Malaysia awal Januari lalu dan kemudian ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka India.
Tumpuan Zii Jia ketika ini kepada persiapan bagi membawa cabaran bersama skuad negara menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Februari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!