Sesi soal jawab PM dilaksana mulai sidang Parlimen Ke-15

Persidangan Dewan Rakyat bermula pada 13 Februari ini.
Persidangan Dewan Rakyat bermula pada 13 Februari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat akan dilaksanakan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang bermula 13 Februari.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata buat permulaan, sesi itu akan dilaksanakan secara ujian rintis pada setiap Selasa selama sejam.

"Kita cadang sesi itu dilakukan pada setiap Selasa untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan yang ditujukan kepadanya dan pada Khamis pula, sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

"Ini antara pembaharuan yang akan dilaksanakan cuma ia belum boleh dimaktubkan sebagai sesi tetap... kita mula sebagai ujian rintis dahulu untuk kita kenal pasti apa masalah yang mungkin timbul susulan pelaksanaannya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, sesi PMQ itu juga memerlukan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sebelum digazetkan sebagai sesi tetap sidang Dewan Rakyat.

Sebagai usaha memastikan usul yang dibawa Ahli Parlimen dapat dibincangkan, Johari berkata, sesi Kamar Khas juga ditambah baik dengan memperbanyakkan jumlah usul iaitu daripada dua usul setiap sesi kepada empat usul.

Johari turut berhasrat untuk membuka ruang kepada Ahli Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan untuk mengemudi sesi itu.

"Ini bermakna bukan saya serta dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sahaja boleh mengemudi sesi itu tetapi peluang turut diberikan kepada Ahli Parlimen lain,” katanya.

Johari berkata, beliau juga bercadang mewajibkan semua Ahli Parlimen menjalani pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan bagi memastikan status kesihatan wakil rakyat pada tahap yang optimum untuk melaksanakan tugas mereka.

Mengenai liputan media persidangan Dewan Rakyat, beliau berkata, wakil agensi media dibenarkan berada di ruang lobi Parlimen bagi mendapatkan reaksi daripada Menteri atau Ahli Parlimen bermula persidangan ini selepas ia tidak dibenarkan ekoran penularan Covid-19 sebelum ini.

Persidangan Dewan Rakyat bermula pada 13 Februari ini didahului dengan istiadat pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum sesi perbahasan Titah Diraja selama lima hari.

Pada 24 Februari, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!