Menara Kuantan mercu tanda ikonik baharu
KUANTAN - Berketinggian, 180 meter, Menara Kuantan atau Mercu Teruntum yang kini dalam proses pembinaan bakal menjadi mercu tanda baharu bandar Kuantan yang pastinya menjadi kebanggaan penduduk daerah ini dan Pahang khususnya.
Terletak di Laman Teruntum di tepi Sungai Kuantan, Mercu Teruntum ini dikatakan yang keempat tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur, Menara Alor Star dan Menara Taming Sari di Melaka.
Sudah pasti, apabila siap kelak, ia dijangka menjadi daya tarikan pelancong baharu di bandar ini, sekali gus membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan tersebut seiring dengan objektif pembinaannya sebagai salah satu sumber penjanaan ekonomi kepada negeri ini.
Pengunjung akan dapat menikmati pemandangan seluruh daerah Kuantan dari aras tinggi, selain melihat panorama sungai sebagai pembangunan katalis di Kuantan Waterfront dari atas Mercu Teruntum.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam, Korporat, Majlis Perbandaran Kuantan, Norkamawati Kamal berkata, pembinaan menara yang dikendalikan East Coast Economic Region (ECER) itu sudah 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya 31 Julai depan.
“Ini akan menjadikan daerah ini sebagai lokasi tumpuan pengunjung untuk datang ke Pahang,” katanya.
Beliau yakin dengan adanya Mercu Teruntum, daerah ini akan menerima lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.
Norkamawati berkata, ekonomi setempat juga dapat digerakkan khususnya bagi pengusaha makanan dan penginapan serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan.
“MPK akan menghidupkan semula Kuantan Riverfront dan Kuantan River Cruise memandangkan Mercu Teruntum akan menjadi salah satu tarikan untuk dilawati di pesisir Sungai Kuantan.
“Selain itu, MPK akan mewujudkan ‘historical trail’ di sepanjang Kuantan Esplanade,” katanya.
Mengulas lanjut, Norkamawati berkata, ‘open viewing deck’ di Mercu Teruntum berpotensi untuk dijadikan sebagai platform untuk ‘river bungee jumping’ atau ‘hand gliding’ yang dijangkakan menarik penggemar aktiviti mencabar ini.
Pembinaan Mercu Teruntum diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat.
Peniaga yang menawarkan perkhidmatan sewaan pelbagai jenis permainan, Ashwad Abd Rahim, 27, berkata, lokasi mercu tanda baharu itu amat strategik.
“Saya yakin, peniaga akan beroleh manfaat daripada pembangunan di tengah bandar ini. Sudah pasti ia mampu meningkatkan lagi pendapatan peniaga di kawasan ini.
“Saya tawarkan khidmat sewaan basikal dan pelbagai jenis permainan yang disediakan di laluan riadah sepanjang sungai Kuantan. Tidak mustahil perniagaan saya akan terus maju dengan adanya menara ini,” katanya.
Aidil Aripin, 45, pula berkata, peniaga berpeluang mendapatkan pendapatan lebih apabila lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar daerah mengunjungi Mercu Teruntum.
“Kita ramal peniaga kecil-kecilan di sekitar menara itu termasuk kawasan perniagaan di Taman Kerang akan menerima tempiasnya,” katanya yang menjual barangan batu permata sejak 15 tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Pahang, Datuk Idrus Yahya berkata, Menara Teruntum bakal menawarkan pakej pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara menerusi ejen pelancongan di seluruh negara.
“Menara ini amat istimewa. Apabila berada di atas menara tersebut kita dapat melihat keseluruhan bandar Kuantan.
“Saya yakin, menara ini mampu menarik pengunjung untuk datang ke sini bagi menikmati keindahan menerusi pemandangan dari atas menara.
“Selain itu, pelancong juga boleh bersiar-siar di kawasan menara dan berjalan-jalan ke Taman Esplanade atau Benteng yang terdapat di lokasi sama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!